Biografi Syeikh Nawawi al-Bantani
5/12/2015
NAMA
Imam Nawawi tidak asing lagi bagi dunia Islam terutama dalam lingkungan
ulama-ulama Syafi’iyah. Ulama ini sangat terkenal kerana banyak karangannya
yang dikaji pada setiap zaman dari dahulu sampai sekarang. Pada penghujung abad
ke-18 lahir pula seorang yang bernama Nawawi di Banten, Jawa Barat. Setelah dia
menuntut ilmu yang sangat banyak, mensyarah kitab-kitab bahasa Arab dalam
pelbagai disiplin ilmu yang sangat banyak pula, maka dia digelar Imam Nawawi
ats-Tsani, ertinya Imam Nawawi Yang Kedua. Orang pertama memberi gelaran
demikian ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Gelaran yang
diungkapkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam seuntai gubahan syairnya itu
akhirnya diikuti oleh semua orang yang menulis riwayat ulama yang berasal dari
Banten itu. Sekian banyak ulama dunia Islam sejak sesudah Imam Nawawi yang
pertama (wafat 676 Hijrah/1277 Masehi) sampai sekarang ini belum ada orang lain
yang mendapat gelaran Imam Nawawi ats-Tsani, kecuali Syeikh Nawawi, ulama
kelahiran Banten yang dibicarakan ini. Rasanya gelaran demikian memang dipandang
layak, tidak ada ulama sezaman dengannya mahupun sesudahnya yang mempertikai
autoritinya dalam bidang ilmiah keislaman menurut metode tradisional yang telah
wujud zaman berzaman dan berkesinambungan.
Sungguhpun
Syeikh Nawawi ats-Tsani al-Bantani diakui alim dalam semua bidang ilmu
keislaman, namun dalam dunia at-thariqah ash-shufiyah, gurunya Syeikh Ahmad
Khathib Sambas tidak melantik beliau sebagai seorang mursyid Thariqat
Qadiriyah-Naqsyabandiyah, tetapi yang dilantik ialah Syeikh Abdul Karim
al-Bantani, iaitu ayah saudara kepada Syeikh Nawawi al-Bantani, yang sama-sama
menerima thariqat itu kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Apakah sebabnya
terjadi demikian hanya diketahui oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas dan Syeikh
Nawawi al-Bantani. Syeikh Nawawi al-Bantani mematuhi peraturan yang diberikan
itu, sehingga beliau tidak pernah mentawajuh/membai’ah seseorang muridnya
walaupun memang ramai murid beliau yang menjadi ulama besar yang berminat dalam
bidang keshufian.
A.
Lahir
dan pendidikan
Nama
lengkapnya adalah Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar ibnu Arabi bin Ali al-Jawi
al-Bantani. Beliau adalah anak sulung seorang ulama Banten, Jawa Barat, lahir
pada tahun 1230 Hijrah/1814 Masehi di Banten dan wafat di Mekah tahun 1314
Hijrah/1897 Masehi. Ketika kecil, beliau sempat belajar kepada ayahnya sendiri,
dan di Mekah belajar kepada beberapa ulama terkenal pada zaman itu, di antara
mereka yang dapat dicatat adalah sebagai berikut: Syeikh Ahmad an-Nahrawi,
Syeikh Ahmad ad-Dumyati, Syeikh Muhammad Khathib Duma al-Hanbali, Syeikh
Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Maliki, Syeikh Zainuddin Aceh, Syeikh Ahmad
Khathib Sambas, Syeikh Syihabuddin, Syeikh Abdul Ghani Bima, Syeikh Abdul Hamid
Daghastani, Syeikh Yusuf Sunbulawani, Syeikhah Fatimah binti Syeikh Abdus
Shamad al-Falimbani, Syeikh Yusuf bin Arsyad al-Banjari, Syeikh Abdus Shamad
bin Abdur Rahman al-Falimbani, Syeikh Mahmud Kinan al-Falimbani, Syeikh Aqib
bin Hasanuddin al-Falimbani. Demikian saja para gurunya yang dapat dicatat
daripada berbagai-bagai sumber, dan berkemungkinan banyak yang belum dapat
dicatat di sini.
Dipercayai
beliau datang ke Mekah dalam usia 15 tahun dan selanjutnya setelah menerima
pelbagai ilmu di Mekah, beliau meneruskan pelajarannya ke Syam (Syiria) dan
Mesir. Setelah keluar dari Mekah kerana menuntut ilmu yang tidak diketahui
berapa lamanya, lalu beliau kembali lagi ke Mekah. Keseluruhan masa beliau
tinggal di Mekah dari mulai belajar, mengajar dan mengarang hingga sampai
kemuncak kemasyhurannya lebih dari setengah abad lamanya. Diriwayatkan bahawa
setiap kali beliau mengajar di Masjidil Haram sentiasa dikelilingi oleh pelajar
yang tidak kurang daripada dua ratus orang. Kerana sangat terkenalnya beliau
pernah diundang ke Universiti al-Azhar, Mesir untuk memberi ceramah atau
fatwa-fatwa pada beberapa perkara yang tertentu.
Belum
jelas tahun berapa beliau diundang oleh ahli akademik di Universiti al-Azhar
itu, namun difahamkan bahawa beliau sempat bertemu dengan seorang ulama
terkenal di al-Azhar (ketika itu sebagai Syeikhul Azhar), iaitu Syeikh Ibrahim
al-Baijuri (wafat 1860 Masehi) yang sangat tua dan lumpuh kerana tuanya.
Kemungkinan Syeikh Ibrahim al-Baijuri, Syeikhul Azhar yang terkenal itu
termasuk salah seorang di antara guru kepada Syeikh Nawawi al-Bantani.
B.
Murid-murid
Beliau
Diriwayatkan
bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani mengajar di Masjidil Haram menggunakan bahasa
Jawa dan Sunda ketika memberi keterangan terjemahan kitab-kitab bahasa Arab.
Barangkali ulama Banten yang terkenal itu kurang menguasai bahasa Melayu yang
lebih umum dan luas digunakan pada zaman itu. Oleh sebab kurang menguasai
bahasa Melayu, maka tidak berapa ramai muridnya yang berasal dari luar pulau
Jawa (seperti Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu dan Patani). Tetapi Tok
Kelaba al-Fathani menyebut bahawa beliau menerima satu amalan wirid daripada
Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani, dan Syeikh Abdul Qadir itu
menerimanya daripada Syeikh Nawawi al-Bantani. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani
(Tok Bendang Daya II) sebenarnya bukan peringkat murid kepada Syeikh Nawawi
al-Bantani tetapi adalah peringkat sahabatnya. Syeikh Nawawi al-Bantani (1230
Hijrah/1814 Masehi) lebih tua sekitar empat tahun saja daripada Syeikh Abdul
Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II, 1234 Hijrah/1817 Masehi). Adapun murid
Syeikh Nawawi al-Bantani di pulau Jawa yang menjadi ulama yang terkenal sangat
ramai, di antara mereka ialah, Kiyai Haji Hasyim Asy’ari, Pengasas Pondok
Pesantren Tebuireng, Jawa Timur, bahkan beliau ini dianggap sebagai bapa ulama
Jawa dan termasuk pengasas Nahdhatul Ulama. Murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang
terkenal pula ialah Kiyai Haji Raden Asnawi di Kudus, Jawa Tengah, Kiyai Haji
Tubagus Muhammad Asnawi di Caringin, Purwokerto, Jawa Barat, Syeikh Muhammad
Zainuddin bin Badawi as-Sumbawi, Syeikh Abdus Satar bin Abdul Wahhab as-Shidqi
al-Makki, Sayid Ali bin Ali al-Habsyi al-Madani dan ramai lagi.
Salah
seorang cucunya, yang juga mendapat pendidikan sepenuhnya daripada beliau ialah
Syeikh Abdul Haq bin Abdul Hannan al-Jawi al-Bantani (1285 Hijrah/1868 Masehi –
1324 Hijrah/1906 Masehi). Pada halaman pertama Al-Aqwalul Mulhaqat, Syeikh
Abdul Haq al-Bantani menyebut bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani adalah orang
tuanya (Syeikhnya), orang yang memberi petunjuk dan pembimbingnya. Pada
bahagian kulit kitab pula beliau menulis bahawa beliau adalah `sibthun’ (cucu)
an-Nawawi Tsani. Selain orang-orang yang tersebut di atas, sangat ramai murid
Syeikh Nawawi al-Bantani yang memimpin secara langsung barisan jihad di Celegon
melawan penjajahan Belanda pada tahun 1888 Masehi. Di antara mereka yang
dianggap sebagai pemimpin pemberontak Celegon ialah: Haji Wasit, Haji Abdur
Rahman, Haji Haris, Haji Arsyad Thawil, Haji Arsyad Qasir, Haji Aqib dan
Tubagus Haji Ismail. Semua mereka adalah murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang
dikaderkan di Mekah.
C.
Karya-karya
Beliau
Berapa
banyakkah karya Syeikh Nawawi ats-Tsani al-Bantani yang sebenarnya belum
diketahui dengan pasti. Barangkali masih banyak yang belum masuk dalam senarai
yang ditulis oleh penulis-penulis sebelum ini. Saya telah memiliki karya ulama
Banten ini sebanyak 30 judul. Judul yang telah saya masukkan dalam buku
berjudul Katalog Besar Persuratan Melayu, sebanyak 44 judul. Semua karya Syeikh
Nawawi al-Bantani ditulis dalam bahasa Arab dan merupakan syarahan daripada karya
orang lain. Belum ditemui walau sebuah pun karyanya yang diciptakan sendiri.
Juga belum ditemui karyanya dalam bahasa Melayu, Jawa ataupun Sunda. Oleh sebab
kekurangan ruangan di antara 44 judul di bawah ini saya catat sekadarnya saja,
ialah:
1.
Targhibul Musytaqin,
selesai Jumaat, 13 Jamadilakhir 1284 Hijrah/1867 Masehi. Cetakan awal Mathba’ah
al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1311 Hijrah.
2.
Fat-hus Shamadil
`Alim,
selesai awal Jamadilawal 1286 Hijrah/1869 Masehi. Dicetak oleh Mathba’ah Daril
Kutubil Arabiyah al-Kubra, Mesir 1328 Hijrah.
3.
Syarah Miraqil
`Ubudiyah, selesai 13 Zulkaedah 1289 Hijrah/1872 Masehi. Cetakan
pertama Mathba’ah al-Azhariyah al-Mashriyah, Mesir 1308 Hijrah.
4.
Madarijus Su’ud ila
Iktisa’il Burud, mulai menulis 18 Rabiulawal 1293 Hijrah/1876
Masehi. Dicetak oleh Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, akhir
Zulkaedah 1327 Hijrah.
5.
Hidayatul Azkiya’ ila
Thariqil Auliya’, mulai menulis 22 Rabiulakhir 1293
Hijrah/1876 Masehi, selesai 13 Jamadilakhir 1293 Hijrah/1876 Masehi. Diterbitkan
oleh Mathba’ah Ahmad bin Sa’ad bin Nabhan, Surabaya, tanpa menyebut tahun
penerbitan.
6.
Fathul Majid fi
Syarhi Durril Farid, selesai 7 Ramadan 1294 Hijrah/1877
Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1304
Hijrah.
7.
Bughyatul `Awam fi
Syarhi Maulidi Saiyidil Anam, selesai 17 Safar 1294 Hijrah/1877
Masehi. Dicetak oleh Mathba’ah al-Jadidah al-‘Amirah, Mesir, 1297 Hijrah.
8.
Syarah Tijanud Darari,
selesai 7 Rabiulawal 1297 Hijrah/1879 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba’ah `Abdul
Hamid Ahmad Hanafi, Mesir, 1369 Masehi.
9.
Syarah Mishbahu
Zhulmi `alan Nahjil Atammi, selesai Jamadilawal 1305 Hijrah/1887
Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1314 Hijrah
atas biaya saudara kandung pengarang, iaitu Syeikh Abdullah al-Bantani.
10.
Nasha-ihul `Ibad,
selesai 21 Safar 1311 Hijrah/1893 Masehi. Cetakan kedua oleh Mathba’ah
al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1323 Hijrah.
11.
Al-Futuhatul
Madaniyah fisy Syu’bil Imaniyah, tanpa tarikh.
Dicetak di bahagian tepi kitab nombor 10, oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah,
Mekah, 1323 Hijrah.
12.
Hilyatus Shibyan
Syarhu Fat-hir Rahman fi Tajwidil Quran, tanpa tarikh.
Dicetak oleh Mathba’ah al-Miriyah, Mekah, 1332 Hijrah.
13.
Qatrul Ghaits fi
Syarhi Masaili Abil Laits, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba’ah
al-Miriyah, Mekah, 1321 Hijrah.
14.
Mirqatu Su’udi
Tashdiq Syarhu Sulamit Taufiq, tanpa tarikh.
Cetakan pertama oleh Mathba’ah al-Miriyah, Mekah 1304 Hijrah.
15.
Ats-Tsimarul Yani’ah
fir Riyadhil Badi’ah, tanpa tarikh. Cetakan pertama oleh
Mathba’ah al-Bahiyah, Mesir, Syaaban 1299 Hijrah. Dicetak juga oleh Mathba’ah
Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, 1342 Hijrah.
16.
Tanqihul Qaulil
Hatsits fi Syarhi Lubabil Hadits, tanpa tarikh.
Dicetak oleh Mathba’ah Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyah, Mesir, tanpa tarikh.
17.
Bahjatul Wasail bi
Syarhi Masail, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba’ah
al-Haramain, Singapura-Jeddah, tanpa tarikh.
18.
Fat-hul Mujib Syarhu
Manasik al- ‘Allamah al-Khatib, tanpa tarikh.
Dicetak oleh Mathba’ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1328 Hijrah.
19.
Nihayatuz Zain
Irsyadil Mubtadi’in, tanpa tarikh. Diterbitkan oleh
Syarikat al-Ma’arif, Bandung, Indonesia, tanpa tarikh.
20.
Al-Fushushul
Yaqutiyah `alar Raudhatil Bahiyah fi Abwabit Tashrifiyah,
tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba’ah al-Bahiyah, Mesir, awal Syaaban 1299
Hijrah.
Ket. gbr diambil dari tgkboy.blogspot.com
Jika kesulitan untuk mendownload, silahkan baca petunjuk disini: Cara Mendownload